suria

Video Pelatih Anjing Hina Islam - Jakim

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan penerbitan klip video '1 Hari di Hari Raya' yang menggambarkan Hari Raya umat Islam boleh diraikan bersama anjing adalah tindakan menghina Islam dan perbuatan tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata pemilik video itu secara jelas menghina pegangan dan sensitiviti umat Islam di Malaysia yang berpegang kepada Mazhab Shafie bahawa umat Islam tidak boleh memegang atau menyentuh anjing atau keturunannya di mana jika tersentuh wajib disertu.

Katanya takbir Hari Raya yang turut dijadikan muzik latar dalam video itu, juga merupakan satu tindakan penghinaan kerana takbir itu merupakan satu lafaz suci dalam memuji dan membesarkan Allah sedangkan pemilik video melakukan agenda yang sangat menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

"Penerbitan video tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh orang Islam yang menghormati perasaan beragama seorang Islam yang lain.

"Tindakan pemilik video itu seolah-olah memperlekeh dan mencabar pegangan umat Islam yang selalunya dilakukan dalam bentuk provokasi oleh segelintir orang bukan Islam," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Othman berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat pada Rabu lalu dan kini Jakim sedang menyiapkan satu laporan untuk dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membuat tindakan susulan.

Maznah Mohd Yusof, 38, yang dikenali sebagai Chetz menjadi sasaran kritikan selepas video itu yang memaparkan dirinya bersama tiga ekor anjing tiga tahun lepas telah dimuat naik di YouTube baru-baru ini.

Wanita itu dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor, hari ini atas bon jaminan mahkamah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain