suria

Kelindan Lori Bebas Tuduhan Miliki Kanabis

IPOH: Kehadiran Syawal yang bakal menjelang pasti disambut dengan rasa syukur oleh seorang kelindan lori selepas Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan memiliki kanabis tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohsin Amri Adnan, 22.

Mohsin Amri dituduh memiliki 58.7 gram kanabis di sebuah rumah di Jalan Pasir Putih di sini, pada 4.15 pagi, 11 November tahun lepas, mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Tertuduh turut didakwa memasukkan dadah jenis THC (Delta -9 tetra hydrocannabinol) ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 4.50 petang, hari yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nora Shariff manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain