SKMM Rujuk Jakim Isu Video Raya Bersama Anjing - Shabery

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat keputusan berhubung kes penyebaran video '1 Hari Di Hari Raya' baru-baru ini yang dianggap menghina Islam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata pandangan dan nasihat Jakim diperlukan bagi memutuskan sama ada video itu mencemar kesucian agama Islam.

"Sekiranya Jakim mendapati video itu menyentuh sensitiviti agama, maka SKMM akan buat keputusan supaya kes itu diserahkan kepada peguam negara," katanya kepada pemberita selepas meyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara TM Net Sdn Bhd dan Astro Malaysia Holdings Berhad di sini.

Turut hadir Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Polis semalam menahan Maznah Mohd Yusof, 38, selepas didakwa membuat video kontroversi menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Maznah dipercayai individu yang memuat naik video itu tiga tahun lepas di YouTube.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan menggunakan suara latar Takbir Raya.

Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai Baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

Maznah kini direman dua hari hingga esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor setelah diambil keterangan di Bukit Aman semalam.

Selain itu, Shabery berkata SKMM telah pun merekod kenyataan Maznah dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui niat sebenar individu itu membuat video berkenaan.

"Banyak pandangan berbeza yang kita terima berhubung kes ini, jadi siasatan perlu dijalankan," katanya.

Mengenai kerjasama itu, dua saluran sukan Astro iaitu Astro SuperSport HD dan Astro SuperSport 2 HD akan disiarkan menerusi perkhidmatan Televisyen Protokol Internet TM, HyppTV mulai hari ini.

Astro dan TM turut bersetuju untuk meneruskan kerjasama bagi menyiarkan saluran televisyen NJOI (nama untuk servis siaran tv percuma daripada Astro) dan stesyen radio terpilih menerusi Hypp TV.

Perjanjian itu ditandangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Astro Datuk Rohana Rozhan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Klik

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Artikel Lain