suria

PM Sedih Kematian Dua Atlit Berbakat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan rasa sedih dengan kematian dua atlet berbakat negara, pada Ahad, dan yang terbaru awal pagi Khamis.

Perdana menteri dalam mesej Twitternya berkata kematian Jacky Ng Kiat Kee, 25, dan Chua Boon Huat, 33, turut dirasai semua rakyat Malaysia.

"Sedih mendapat tahu mengenai kematian Jacky Ng dan Chua Boon Huat. Kedua-dua mereka atlet berbakat negara yang pemergian mereka akan dirasai oleh semua," katanya.

Pemain bola keranjang kebangsaan Jacky Ng meninggal dunia semasa mewakili negara dalam satu kejohanan jemputan di China, dipercayai akibat serangan jantung, Ahad lepas.

Pemain hoki negara Chua pula terbunuh awal pagi Khamis dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran stesen LRT Kelana Jaya.

Kereta Proton Perdana yang dipandu Chua, dipercayai berlanggar dengan sebuah lori tangki menyiram pokok di sepanjang jalan LDP dalam kemalangan pukul 2.25 pagi itu, menurut jurucakap polis Petaling Jaya. BERNAMA

Artikel Lain