suria

Pemandu Bas Didakwa Tipu Peniaga Berhubung Permit Kerja

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Khamis terhadap pertuduhan menipu seorang peniaga Februari lepas.

Abd Halim Man, 46, didakwa menipu Ng Yoke Bee, 44, dalam urusan membuat permit kerja sehingga mendorong Ng menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM6,050 ke dalam akaun milik tertuduh sebagai pembayaran namun tiada permohonan itu dilakukan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini antara 5 Februari 2013 hingga 8 Mac 2013 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Majistret Saifulakmal Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sarihan Abdul Shatar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh. - BERNAMA

Artikel Lain