suria

Pelajar Persendirian M'sia Di Jordan Maut Dalam Nahas Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar persendirian Malaysia yang mengikuti kursus jangka pendek Bahasa Arab di Amman, Jordan meninggal dunia dalam nahas jalan raya di negara itu pada Rabu.

Nik Mohd Ariff Suparjo, 19, maut dalam kemalangan itu setelah kenderaan yang dinaikinya terbabas di jalan menuju ke Laut Mati.

Turut terlibat dalam kemalangan itu ialah abang mangsa, Nik Mohd Alif, 20, yang kini dirawat di Hospital Karak dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jordan dengan kerjasama Education Malaysia Jordan telah menghubungi keluarga mangsa dan sedang menguruskan proses dokumentasi serta pengurusan yang diperlukan.

"Atas permintaan keluarga mangsa, pihak kedutaan sedang membuat persediaan untuk pengebumian jenazah di Mutah, Jordan," katanya.

Dalam pada itu Anifah mewakili Wisma Putra mengucapkan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka sabar menghadapi ujian tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain