suria

Kedah Mahu Selesai Masalah Kuin Tanpa Unsur Politik - MB

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan memberi perhatian kepada kebajikan pelajar dan kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dalam menangani pelbagai masalah yang berlaku di kolej universiti milik kerajaan negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri mahu menyelesaikan masalah Kuin satu persatu tanpa ada sebarang unsur politik.

Beliau agak terkilan kerana ada pihak tertentu yang cuba memperlihatkan dan menimbulkan sesuatu yang ditolak oleh warga Kuin.

"Kerajaan negeri nak jaga kepentingan seluruh rakyat negeri ini. Jika ada sebilangan pelajar yang tak puas hati nak kena pindah dari (kampus induk) Kuala Ketil (ke kampus lama di Mergong), itu bukan keutamaan kita.

"Sebelum ini mereka telah kemukakan memorandum (berkenaan pelbagai masalah) di Kuin Mergong. Mereka (pelajar dan warga Kuin) tak perlu bimbang kerana kita telah sediakan kemudahan kelas dan asrama yang mencukupi (di Mergong)," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman di sini.

Pada majlis itu Mukhriz turut mengedarkan kira-kira 800 bungkus bubur lambuk Yayasan Islam Kedah (Yiked) kepada orang ramai serta peniaga di bazar tersebut.

Mukhriz berkata sebelum ini terdapat pelbagai masalah di Kampus Kuin Kuala Ketil seperti kemudahan asrama pelajar yang tidak disediakan serta kakitangan kolej itu yang terpaksa berulang-alik dari Alor Setar ke Kuala Ketil.

Katanya pihaknya akan mengambil pendekatan berjumpa dengan wakil pelajar kolej itu bagi menerangkan kepada mereka tindakan kerajaan negeri lakukan bagi memastikan masalah yang berlaku dapat diatasi secara berperingkat.

"Ia akan mengambil sedikit masa untuk atasi pelbagai masalah dan kita minta semua pihak bersabar bagi membolehkan kerajaan negeri selesaikan satu persatu," katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata kerajaan negeri merancang untuk mempromosikan bazar Ramadan sebagai satu daripada produk pelancongan di negeri ini yang menawarkan pelbagai juadah istimewa.

Katanya beliau yakin pelancong asing yang datang ke bazar Ramadan akan tertarik dengan melihat pelbagai juadah yang hanya ditemui pada bulan itu sahaja. BERNAMA

Artikel Lain