suria

Jakim Kesal Penerbitan Video Hina Islam

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan penerbitan video menghina Islam, yang sekali lagi menyentuh sensitiviti umat Islam pada Ramadan ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata penerbitan video itu memang tidak dapat dimaafkan, yang difahamkan dirakam dan diterbitkan sejak 2010.

"Melalui dapatan kami, sememangnya mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan secara sengaja ingin mencetuskan kemarahan umat Islam dengan menyamakan umat Islam dengan anjing dalam suasana laungan takbir raya sebagai latar belakang video," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Video itu memaparkan seorang individu yang dikenali sebagai Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dengan berlatarkan suara takbir raya.

Rakaman video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan seorang individu memakai Baju Melayu hitam mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya kepada anjingnya.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesis, warna, asal usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)".

Ia turut mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Chetz sekeluarga" dengan gambar individu dikenali Chetz itu duduk bersama dua anjingnya di atas sofa manakala seekor lagi anjingnya di atas lantai (bawah sofa) di dalam sebuah rumah.

Sehubungan itu, Othman berkata Jakim telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini berhubung perkara itu.

"Kami sedia membantu SKMM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak yang berkaitan termasuk menghantar satu laporan khusus kepada pihak SKMM dalam masa terdekat," katanya.

Untuk tujuan itu Jakim juga telah membuat aduan kepada pihak polis dan pihak Jabatan Agama Islam Negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil. BERNAMA

Artikel Lain