suria

Dera Anak Tiri: Hukuman Penjara Mekanik Ditambah Kepada Dua Setengah Tahun

SHAH ALAM: Seorang mekanik yang dihukum penjara setahun kerana mendera anak tirinya tahun lepas, terpaksa meringkuk dalam penjara lebih lama apabila Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman penjara kepada dua setengah tahun.

Hakim, Datuk Nurchaya Arshad menambah hukuman itu terhadap T. Rajasegaran, 32, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Nurchaya turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan wang cagaran RM5,000 terhadap Rajasegaran.

Pada 15 Januari lepas, dia dikenakan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Klang setelah mengaku bersalah mendera anak tirinya menggunakan senduk nasi dan acuan muruku hingga menyebabkan kecederaan fizikal mangsa di sebuah rumah di Kapar pada 12.30 tengah hari pada September tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Nurchaya berkata, hukuman penjara dua setengah tahun itu dibuat selepas mengambil kira faktor kepentingan awam.

"Dalam kes ini, responden bukan sahaja bertindak menampar muka dan menendang mangsa tetapi mengangkatnya ke atas sofa sehingga kanak-kanak malang itu jatuh ke lantai," katanya.

Terdahulu, peguam responden, Shahrul Nizam Azwir meminta mahkamah mengurangkan ataupun mengekalkan hukuman penjara setahun ke atas anak guamnya kerana tertuduh mengaku bersalah dan menyesali perbuatan itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mirza Mohamed berkata, perbuatan yang dilakukan responden boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi yang serius kepada mangsa.

Perbuatan Rajasegaran terhadap mangsa mendapat perhatian umum apabila dirakam dalam klip video selama lapan minit 33 saat dan disebar melalui laman Facebook. - BERNAMA

Artikel Lain