suria

Undang-Undang Ganti EO Tidak Lama Lagi

PUTRAJAYA: Cadangan untuk menggantikan undang-undang Ordinan Darurat (EO) yang dimansuhkan baru-baru ini akan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat bulan September, sambil Perdana Menteri menggesa pihak polis mengambil tindakan segera untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap apa yang berlaku mutakhir ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata undang-undang baru itu akan memperkukuhkan keupayaan polis untuk bertindak terhadap jenayah serius dan teratur.

"Satu jawatankuasa yang terdiri daripada Menteri Dalam Negeri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara kini merangka peruntukan tambahan di dalam undang-undang yang dicadangkan untuk menangani jenayah berat," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Katanya, kerajaan juga bersedia untuk mempertimbangkan permintaan dan keperluan daripada pihak polis selagi ada jaminan bahawa tidak akan ada penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak asasi manusia.

"Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan," kata beliau yang merujuk kepada peristiwa tembakan baru-baru ini, termasuk pembunuhan Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi di Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau menambah: "Tindakan segera dan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk membawa kembali keamanan dan keyakinan orang ramai.

"Saya faham ini adalah satu isu yang menyentuh perasaan dan membimbangkan rakyat, dan mereka semakin bimbang tentang keselamatan dan jenayah berat yang berleluasa. "Polis akan melihat apa tindakan yang boleh diambil di bawah undang-undang yang sedia ada untuk memastikan keadaan jalan adalah selamat."

Najib berkata, polis boleh meminta apa sahaja yang mereka perlukan untuk meningkatkan keberkesanan mereka dalam membanteras jenayah serius.

"Terpulang kepada pihak polis untuk meminta daripada kerajaan apa yang mereka perlukan untuk meningkatkan keupayaan mereka.

"Kerajaan sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan apa sahaja yang perlu, mengikut asas dan kemampuan, untuk menambah keberkesanan dalam usaha memerangi jenayah, khususnya jenayah berat, di negara ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Kewangan.

Artikel Lain