suria

Perbicaraan Permohonan Abdul Kadir Arah ROS Daftar IKATAN Tangguh 10 September

KUALA LUMPUR: Perbicaraan permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman bagi mengarahkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mendaftarkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang difailkan bekas menteri pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir ditangguhkan kepada 10 September depan.

Penangguhan itu dibuat kerana Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof terlibat mengendalikan perbicaraan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang difailkan parti politik.

Pada 15 Februari lalu, Abdul Kadir memfailkan permohonan tersebut melalui firma guaman, Tetuan Kesavan di Kaunter Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Abdul Kadir yang merupakan pengasas IKATAN mendakwa pihaknya menyerahkan borang pendaftaran bagi mendaftar parti itu kepada ROS pada 6 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau selaku pemohon mendakwa masih belum menerima sebarang jawapan daripada ROS yang dinamakan sebagai responden berhubung status permohonan pendaftaran parti itu sehingga hari ini.

"Saya amat kecewa kerana permohonan pendaftaran parti yang dibuat pada 6 Jun tahun lalu masih belum ada sebarang maklum balas. Saya tertunggu-tunggu selama setahun," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Abdul Kadir diwakili peguam Murnie Hidayah Anuar.

Artikel Lain