suria

Orang LPFM Tidur ke?

Sesebuah karya filem akan bertambah bermutu jika proses suntingan dilakukan dengan baik. - Gambar hiasan.
Sesebuah karya filem akan bertambah bermutu jika proses suntingan dilakukan dengan baik. - Gambar hiasan.
Sesebuah karya filem akan bertambah bermutu jika proses suntingan dilakukan dengan baik. - Gambar hiasan.

Adoiii

APABILA timbul isu filem The New Village yang dikatakan mengagung-agungkan komunis boleh terlepas untuk tayangan, beberapa pihak bertanya kepada saya, apa sebenarnya peranan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM)?

Siapakah panel yang menapis filem-filem di LPFM? Orang LPFM ni makan gaji buta ke? Tidur ke? Tak buat kerja ke? Dan macam-macam persoalan negatif lain dibangkitkan.

Isu mengenai LPFM ni sebenarnya sudah lama bersarang dalam fikiran orang-orang seni iaitu mengenai sejauh manakah keupayaan mereka yang dilantik menapis filem-filem yang diberi.

Sebelum ini TV3 pernah terlepas siar adegan bogel dalam filem lakonan Emile Hirsch iaitu Into The Wild.

Pihak LPFM kata, mereka dah menapis berpuluh-puluh adegan kurang sopan filem itu dan kemudiannya menyerahkan kepada pihak TV3 pula untuk menapisnya kembali.

Kalau LPFM diberi kuasa untuk menapis filem, hakikatnya sesebuah karya itu tidak perlu hendak ditapis lagi kerana fungsi dan kuasa LPFM itu adalah lebih besar dari sesebuah stesen televisyen dalam soal penyuntingan filem.

Faktor-faktor seperti inilah secara tidak langsung memaparkan kelemahan di pihak LPFM sendiri.

Saya difahamkan kononnya panel penapisan buat kerja tak menang tangan. Mereka bukan menapis satu atau dua filem sehari tetapi berpuluh-puluh filem termasuklah karya dari luar negara yang hendak ditayangkan di pawagam negara in.

Ia termasuk juga karya-karya lain untuk siaran saluran televisyen yang ada.

Maka disebabkan kesibukan itu, ada di antara adegan yang keterlaluan akan terlepas siarannya.

Apa-apa pun itu semua bukanlah alasan kerana ketika saluran televisyen semakin bertambah dan juga jumlah karya filem tempatan juga meningkat, LPFM haruslah melakukan transformasi bagi memenuhi keupayaan tersebut.

Dalam masa yang sama kerajaan harus melihat semula adakah wajar atau tidak agensi berkaitan filem ini diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri?

Seharusnya ia dipindahkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang turut mempunyai agensi berkaitan filem iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Filem Negara di bawahnya.

Jika ia berada ‘di rumah’ yang berbeza, tentu sekali banyak masalah yang akan timbul termasuklah soal bidang kuasa dan tugas yang tidak sealiran.

Untuk rekod, proses penghasilan sesebuah filem yang siap, perlu dihantar ke LPFM, (Kementerian Dalam Negeri) terlebih dahulu untuk disunting.

Kemudiannya, karya itu diserahkan kepada Finas (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) untuk ditonton semula oleh panel Syarat Wajib Tayang untuk diberikan tarikh tayangan.

Jika ketika proses previu semula di bawah SWT itu terdapat adegan-adegan yang tidak sopan, pihak SWT tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya lagi kerana ia sudah ditapis oleh LPFM, agensi yang berkuasa penuh dalam soal penyuntingan.

Selepas SWT menetapkan tarikh, mereka akan memaklumkan kepada pihak penerbit bagi membolehkan urusan promosi dilakukan terhadap filem itu sebelum ia tayangkan kepada umum.

Jika dilihat kepada proses-proses itu, adalah wajar, LPFM ini diselaraskan di bawah satu agensi penguatkuasaan agar ia menjadi lebih mudah dan tidak lagi timbul masalah dan kekeliruan di kemudian hari.

NIEZAM: Simpati dengan nasib filem Tanda Putera yang sudah beratus kali ditapis, tayangannya tetap tergendala.

Artikel Lain