suria

Laporan Penelitian Semula Filem "The New Village' Siap Minggu Ini - LPF

KUALA LUMPUR: Laporan lengkap penelitian semula Lembaga Penapisan Filem (LPF) terhadap filem The New Village akan dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu ini.

Pengerusi LPF, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata, dua panel ditubuhkan yang masing-masing berperanan untuk mencari apa yang didakwa mengandungi unsur memperjuangkan komunis dan mencari agenda tersembunyi daripada segi jalan cerita, perkara-perkara tertentu di sebalik filem itu.

"Panel LPF sentiasa melihat dari sudut garis panduan yang ditetapkan untuk sesebuah filem dan kita akan melihat semula objektif filem itu. Panel yang ditubuhkan akan menonton semula filem itu.

"Malah, pagi tadi telah berjumpa dengan Astro Shaw (penerbit filem) dan mereka telah serah filem tersebut kepada kami untuk penelitian semula," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Filem itu mengundang kontroversi umum di Internet apabila didakwa cuba mengagung-agungkan komunis secara tersirat sehingga beberapa badan bukan kerajaan dan politik menuntut filem itu ditarik balik atau diharamkan.

Menteri Dalam Negeri Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad berkata, tayangan filem itu yang dijadualkan pada 22 Ogos ditangguhkan bagi membolehkan LPF meneliti semula kandungannya termasuk keperluan menapis semula daripada segi plot cerita dan mesejnya.

Raja Azhar berkata, jika laporan penelitian semula telah diserahkan kepada KDN, keputusan penayangan terletak pada bidang kuasa kementerian itu.

"LPF hanya berperanan untuk meletakkan garis panduan yang sesuai dan bukannya penentu sesebuah filem itu boleh ditayang atau sebaliknya," katanya.

Ditanya mengapa pada peringkat awal LPF meluluskan filem itu untuk ditayangkan, beliau memberitahu bagi LPF, filem itu telah mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan.

"Dari segi garis panduan, filem itu dilepaskan kerana ia melepasi semua garis panduan kita seperti bebas dari isu ketenteraman awam, keselamatan, keagamaan dan hubungan kaum.

"Kita juga teliti setiap dialog. Malah dari segi isu-isu keganasan keterlaluan pun tiada malahan bersih. Begitu juga tiada dialog yang menyinggung perasaan kaum," katanya.

Raja Azhar menjelaskan kontroversi yang timbul ketika ini 'di luar garis panduan LPF' contohnya objektif filem dan tujuan filem diterbitkan, dan LPF perlu meneliti semula kandungan keseluruhan film tersebut.

"Sebagai sebuah cerita, filem ini memang tiada isu ... tetapi jika ada di sebalik cerita sama ada memperjuangkan komunis atau tidak, itu yang kita akan double check. Dalam konteks filem hiburan, ia lepas. Kalau wujud isu perkauman, kita memang sudah potong," katanya.

Raja Azhar turut menasihatkan mereka yang mengkritik tanpa usul periksa ketika ini supaya menonton keseluruhan filem dan bukannya treler sahaja yang langsung tidak menggambarkan keseluruhannya.

Menurutnya, filem tersebut berkisar pada pencintaan seorang gadis kampung dengan anggota komunis yang dipisahkan dengan kawat berduri selain memaparkan ketenteraman awam dikawal sepenuhnya pasukan keselamatan.

Raja Azhar turut ditanya kenapa filem itu akan ditayangkan terlebih dahulu berbanding filem 'Tanda Putera' yang mengisahkan perjuangan pemimpin negara dalam mendepani insiden 13 Mei.

Beliau berkata, keputusan menayangkan mana-mana filem terletak pada bidang kuasa pengeluar dan penerbit filem itu sendiri dan bukannya di bawah LPF.

"Ini strategi pemasaran dan perniagaan mereka, sama ada hendak tayang dahulu atau kemudian. Tugas kita hanya membuat penapisan dan menguruskan filem itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain