suria

Sanjeevan Ditembak Sekali, Peluru Tembusi Bahagian Rusuk - Ketua Polis N.Sembilan

SEREMBAN: Doktor di Hospital Tuanku Ja'afar akan melakukan pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang telah menembusi bahagian rusuk Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan.

Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh berkata Sanjeevan, 29 tahun, kini berada di unit rawatan rapi hospital, dalam keadaan stabil.

"Beliau telah dipindahkan dari hospital Kuala Pilah awal hari ini untuk pembedahan," kata Osman.

Beliau berkata, mangsa telah ditembak sekali.

Peluru mengenai siku kanannya dan menembusi di sebelah kanan tulang rusuk.

"Kita juga telah meletakkan anggota yang bertugas di hospital untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya. Ahli keluarga Sanjeevan terus berjaga di hospital sejak beliau dibawa ke sini dari Kuala Pilah.

Sanjeevan, ditembak oleh seorang pembonceng motosikal yang berhenti di sebelah kereta BMW beliau ketika beliau menurunkan tingkap kereta untuk merokok di simpang berhampiran Taman Awana Indah di Jempol, Negeri Sembilan, kira-kira 4.30 petang Sabtu.

Beliau bersama dengan seorang lagi rakannya.

Osman berkata kedua-dua penunggang motosikal berkulit gelap dan memakai topi keledar penuh.

Sanjeevan berjaya memandu sejauh 300 meter dan kemudian meminta rakannya menggantikannya.

Beliau telah dibawa ke hospital Jempol dan kemudiannya ke hospital Kuala Pilah.

Polis telah mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Osman berkata polis telah menahan rakan Sanjeevan, berusia 35 tahun bagi kes yang tidak berkaitan.

"Rakannya berada dalam senarai dikehendaki polis bagi kesalahan berkaitan dadah.

"Saya ingin menyatakan di sini bahawa rakannya itu tidak ditahan kerana kejadian tembakan seperti yang dilaporkan oleh media sosial," katanya.

Artikel Lain