suria

Jawatankuasa Khas Kaji Punca Keruntuhan Susur Jambatan Kedua Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Insiden keruntuhan tanjakan susur kedua di Jambatan Kedua Pulau Pinang awal bulan lepas diteliti sebuah jawatankuasa khas Kementerian Kerja Raya yang turut disertai pakar industri pembinaan negara.

Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata antara perkara yang diteliti ialah sama ada insiden berpunca daripada ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Apabila siap nanti hasil laporan jawatankuasa ini akan dibentangkan untuk pertimbangan dan persetujuan kerajaan bagi tujuan penambahbaikan kepada amalan sedia ada," katanya ketika menjawab soalan Datuk Chiw Tiang Chai pada persidangan Dewan Negara, di sini Isnin.

Kata beliau jawatankuasa itu juga akan mengemukakan syor-syor penambahbaikan kepada kerajaan.

Menurut Rosnah kerajaan memandang serius beberapa insiden keruntuhan bangunan yang berlaku di negara ini kebelakangan ini.

"Terdapat pelbagai faktor atau punca boleh berlaku keruntuhan tersebut. Walau bagaimanapun ia boleh disimpulkan kepada tiga faktor iaitu reka bentuk, faktor bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak mengikut spesifikasi dan faktor pengawasan dan kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak projek," katanya.

Rosnah berkata tindakan perundangan ke atas pihak yang terlibat dengan insiden kecuaian boleh diambil menerusi tiga kategori iaitu keahlian profesional, kontraktual dan kawal selia.

"Dari sudut keahlian profesional terdapat akta-akta yang boleh diguna pakai untuk mendakwa pihak-pihak yang terlibat iaitu Akta Jurutera 1967, Akta Arkitek 1967 dan Akta Juru Ukur Bahan 1967.

"Pada aspek kontraktual pula melibatkan antaranya Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Akta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) 1994," katanya.

Aspek kawal selia pula melibatkan agensi seperti Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH). - BERNAMA

Artikel Lain