suria

Jangan Jadikan Kelonggaran Lesen Rebut Jawatan Tinggi Umno - Khairy

TAPAH: Pindaan perlembagaan parti yang membenarkan pemilihan terbuka jawatankuasa di peringkat bahagian, pusat serta Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak seharusnya dijadikan lesen merebut jawatan tinggi, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata anggota dan pemimpin Umno juga perlu menjaga maruah parti, oleh itu kelonggaran itu harus dijadikan semangat kepada mereka untuk terus mengukuhkan parti.

"Saya harap anggota parti pilihlah yang betul-betul layak...dan biarlah yang nak bertanding itu juga yang betul-betul layak untuk kerusi atau jawatan yang dipertandingkan," katanya kepada pemberita pada program Ihya Ramadan Parlimen Tapah di Masjid Al-Mukmin, Batu Tiga di sini malam Ahad.

Khairy berkata apa yang lebih penting ialah sesiapa yang menjadi calon perlu bertanding secara sihat dengan semangat 'kekeluargaan Umno'.

"Kita (Umno) buat pindaan perlembagaan untuk wujudkan satu pemilihan parti yang lebih demokratik, telus serta mencegah politik wang. Saya harap sesiapa yang bertanding, ikutlah prinsip yang dikehendaki parti," katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pemilihan juga tidak perlu dicemari serangan peribadi serta strategi kotor oleh mana-mana calon atau penyokongnya demi maruah serta pengukuhan parti.

Mengenai sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sekarang atau bertanding jawatan dalam MT, beliau berkata: "Tidak tahu lagi, kita tengok nanti, mungkin saya akan kekal untuk pertahankan (jawatan) ketua Pemuda atau mungkin saya bertanding jawatan lain atau saya tidak bertanding langsung".

Pada mesyuarat MT Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno mengumumkan tarikh pemilihan jawatan MT akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober.

Lebih 150,000 perwakilan Umno daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti tahun ini, berbanding hanya 2,500 sebelum ini.

Sementara itu, pemilihan jawatan tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan secara berasingan pada 28 September dan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan dari 2 hingga 7 Disember. - BERNAMA

Artikel Lain