suria

Jabatan Penjara Nafi P.Uthaya Kumar Tidak Diberikan Rawatan & Kemudahan Sewajarnya

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara menafikan banduan P. Uthaya Kumar tidak diberikan rawatan dan kemudahan yang sewajarnya seperti yang didakwa oleh akhbar dan blog tertentu.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Supri Hashim berkata Uthaya Kumar merupakan banduan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang melalui perintah mahkamah yang sah.

"Subjek bukanlah banduan politik atau tahanan politik sepertimana yang disifatkan oleh pihak tertentu dan tidak perlu diberikan layanan yang lebih istimewa berbanding dengan banduan lain iaitu seperti yang dipohon oleh pihak tertentu," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Beliau menjelaskan tempat menjalani hukuman dan pemulihan, layanan termasuk kemudahan rawatan kesihatan yang diberikan kepada banduan perlu berasaskan ketetapan Akta dan Peraturan Penjara.

"Kemudahan tersebut diberikan kepada seseorang banduan atas nasihat dan pengesyoran pegawai perubatan yang merawatnya serta bukan di atas kehendak diri banduan sendiri," katanya.

Supri berkata pemakanan Uthaya Kumar dan kemudahan lain diberikan berasaskan pengesyoran oleh doktor yang memeriksa dan merawatnya.

Sejak 5 Mei hingga 23 Julai, dia telah menerima sembilan kali pemeriksaan dan rawatan kesihatan dari doktor panel penjara dan hospital luar kerana masalah beberapa penyakit yang diadu.

"Seperti banduan lain yang memerlukan kemudahan rawatan kesihatan Uthaya Kumar turut diberikan hak yang sama, malah dia menerima makanan khas sebagai pesakit diabetis," katanya.

Beliau berkata Jabatan Penjara juga menyiasat setiap aduan atau dakwaan yang diterima daripada banduan itu dan keluarganya, dan mendapati tidak berlaku ugutan dan tiada bilik gelap di Penjara Kajang atau mana-mana penjara di negara ini dijadikan sebagai bahan ugutan kepadanya.

Permohonannya untuk keluar dari penempatan di klinik penjara turut diluluskan dan dia ditempatkan seorang sebilik di blok lain yang menempatkan banduan hukuman dua tahun ke bawah, dan bukannya bersama banduan 'hard-core' atau 'high risk', katanya.

Supri turut menasihatkan isteri Uthaya Kumar dan pihak tertentu supaya tidak mengeluarkan kenyataan kurang tepat atau bercanggah dengan tindakan sebenar yang telah diambil oleh Jabatan Penjara.

Menurutnya tanggungjawab menguruskan banduan Uthaya Kumar serta lebih 39,000 penghuni lain terletak di bahu anggota penjara dan pihaknya tidak akan mengabaikan hak serta keperluan mereka.

"Jika berlaku sebarang perlanggaran dari dasar serta ketetapan undang-undang yang telah melibatkan anggota jabatan ini, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain