suria

Tiga Rentung Dalam Kebakaran Di Kampung Muhibbah, Sandakan

SANDAKAN: Seorang wanita dan dua gadis rentung dalam kebakaran awal pagi Sabtu di Kampung Muhibbah di sini.

Anggota bomba menjumpai mayat Juliana Sikin, 24, yang kurang upaya, adiknya Kamisah, 17, dan anak saudara mereka, Nurnilam Sari, 6 tahun di rumah mereka yang musnah dalam kebakaran pukul 5.40 pagi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Johny Yap berkata mayat Juliana dan Kamisah yang rentung ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi rumah itu.

Katanya pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.40 pagi dan menghantar 16 anggota bersama dua jentera dan dua kenderaan pelbagai guna.

Menurutnya apabila tiba di tempat kejadian, rumah tempat mangsa tinggal musnah dan sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan separuh terbakar.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 6.33 pagi sebelum menemui ketiga-tiga mangsa.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.

Hawa Semang, 57, penghuni sebuah lagi rumah berkata sebelum kebakaran itu, mereka baru selesai bersahur dan api bermula dari bahagian depan rumah jiran lalu merebak ke rumah mereka melalui kabel elektrik.

Katanya dia bersama anggota keluarganya lari menyelamatkan diri melalui pintu belakang.

Menurutnya semua persiapan dan barangan dibeli untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri turut musnah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain