suria

MIC Mahu Sistem Kuota Kemasukan Pelajar Diadakan Semula

KUALA LUMPUR: Seorang Senator MIC, Datuk Jaspal Singh berkata sistem kuota perlu diadakan semula bagi meningkat kemasukan pelajar India ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata sejak sistem meritokrasi diperkenalkan tujuh tahun lalu, pengambilan pelajar India ke IPTA merosot terutama dalam fakulti pengajian yang mendapat permintaan tinggi seperti perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan.

Di bawah sistem kuota, pelajar India diperuntuk hampir 10 peratus tempat di IPTA.

"Sistem kuota akan memastikan tempat yang diperuntuk tidak akan meminggirkan mereka dari keluarga miskin dan luar bandar, sementara dapat memastikan pelajar cemerlang dapat diterima masuk ke bidang yang menjadi pilihan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Jaspal yang juga Bendahari Agung MIC berkata pengambilan tahun ini menyaksikan pelajar yang mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 tidak mendapat kursus pilihan mereka atau tidak mendapat tempat langsung.

Beliau turut mencadangkan kerajaan perlu memperuntuk kira-kira 4,000 tempat kepada pelajar India di IPTA setiap tahun dan pelajar diterima masuk berdasarkan kelulusan A-Level, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan matrikulasi.

Jaspal turut meminta agar kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar yang mempunyai CGPA 4.0 untuk mengikuti kursus pilihan mereka di institusi pengajian tinggi swasta sekiranya mereka tidak mendapat tempat di IPTA.

Beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula kemasukan ke universiti tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain