suria

Dua Pekerja Indonesia Maut Dihempap Papak Simen

JOHOR BAHRU: Dua pekerja warga Indonesia maut dihempap papak simen basah siling projek sebuah pasar raya di Taman Gaya, Ulu Tiram di sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata mangsa yang dikenali sebagai Asmawi, 27, dan Aripen, 24, sedang membaiki keretakan rasuk konkrit di aras satu bangunan itu apabila siling simen berkenaan runtuh pada 3.30 petang.

"Ketika membaiki keretakan rasuk konkrit itu, siling simen berkenaan tiba-tiba runtuh dan menghempap mangsa," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Kedua-dua mangsa dipercayai terbunuh di tempat kejadian.

Timbalan Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menghantar 24 anggota untuk menyelamatkan mangsa selepas dimaklumkan pada 3.50 petang.

"Kita terpaksa menggunakan kren dan jengkaut untuk mengeluarkan mayat mangsa dari timbunan papak simen yang semakin mengeras itu," katanya.

Mohd Rizal berkata, anggota bomba mengambil masa lebih enam jam untuk mencari dan mengeluarkan mayat Asmawi.

Beliau berkata, mayat Aripen ditemui pada 12.50 pagi dan berjaya dikeluarkan sejam kemudian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan punca kejadian masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain