suria

Kerajaan Jaga Hak Asasi Manusia Dalam Memerangi Jenayah Berat - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menangani masalah jenayah di negara ini, tetapi pada masa sama menjaga kepentingan hak asasi manusia.

Perdana menteri berkata kerajaan melihat daripada semua sudut mengenai perkara itu.

"Apa yang penting ialah saya ingin menekankan komitmen kerajaan untuk memerangi jenayah terutama jenayah berat dan jenayah terancang di negara ini," katanya ketika ditanya kontroversi isu aspek penahanan untuk pencegahan yang mewujudkan reaksi berbeza daripada masyarakat.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini, presiden Umno itu berkata kerajaan akan mengumumkan mengenai langkah-langkah khusus itu kemudian.

Terdahulu Najib berkata pandangan daripada pelbagai pihak akan diambil kira dalam merangka undang-undang baharu yang menyamai Ordinan Darurat 1969 yang dimansuhkan pada 2011.

Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata beliau sedang berbincang dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengenai draf rang undang-undang baharu itu, dan ekoran pemansuhan Ordinan Darurat 1969, lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan dan mereka kembali melakukan jenayah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain