suria

Shahidan Jadi Pemerhati Pilihan Raya Umum Kemboja

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim akan ke Kemboja selama dua hari mulai Sabtu untuk menjadi pemerhati pilihan raya umum kelima negara itu yang akan diadakan pada Ahad.

Kunjungan beliau ialah atas jemputan International Conference of Asia Political Parties (ICAPP), sebuah forum parti politik yang bertujuan menggalakkan persefahaman dan kerjasama dalam kalangan parti-parti politik di rantau ini.

Beliau akan mengetuai delegasi sembilan orang termasuk para pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan media, menurut seorang pegawai JPM di sini, Jumaat.

Jawatankuasa Pilihan Raya Nasional Kemboja (NEC) baru-baru ini mengumumkan bahawa seramai 9.67 juta pengundi layak untuk mengundi pada Ahad bagi memilih wakil-wakil untuk 123 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat Kemboja.

Parti pemerintah Cambodian People's Party (CPP) yang diketuai Perdana Menteri Hun Sen kekal berkuasa sejak 1998.

Pada pilihan raya umum 2008, CPP memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 90 kerusi sementara parti pembangkang Cambodian National Rescue Party (CNRP) memperoleh 29 kerusi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain