suria

Penduduk Tarik Balik Rayuan Terhadap Keputusan Benarkan Lynas Mencelah

PUTRAJAYA: Kumpulan kedua penduduk dari Kuantan pada Jumaat menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk mencelah dalam permohonan semakan kehakiman berhubung pengeluaran lesen operasi sementara (TOL) untuk jalankan operasi loji Lynas di Gembeng, Kuantan.

Penduduk - Mohamed Taufiq Teng Abdullah, G. Santha, G. Ponusamy, Idrus Awang, Ou Dai Foo, Zaharah Awang dan Chong Kong Yuen - menarik balik rayuan mereka berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan kumpulan pertama penduduk berhubung permohonan pencelah yang sama.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membatalkan rayuan itu dan tidak memerintahkan penduduk membayar kos perundangan kepada Lynas Corporation dan Lynas Malaysia.

Mohd Hishamudin menerima hujahan peguam penduduk, Datuk Bastian Vendargon yang berkata rayuan itu adalah kes melibatkan kepentingan awam dan penduduk tidak harus diperintah membayar kos kerana menarik balik rayuan itu.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Datuk Anantham Kasinater dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Terdahulu Bastian berhujah ia merupakan kes yang layak dan sesuai bagi mahkamah tidak memerintahkan kos dan beliau merujuk keputusan Mahkamah Agung Singapura dalam kes Vellama a/p Marie Mathew lwn Peguam Negara yang menyatakan seharusnya tidak ada kos bagi kes melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan pada 22 April lepas, ketika menolak rayuan yang dikemukakan kumpulan pertama penduduk terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kedua-dua syarikat itu mencelah, tidak memerintahkan penduduk membayar kos.

Terdahulu, peguam Wong Kah Hui mewakili Lynas Corporation dan Lynas Malaysia memberitahu anggota panel bahawa beliau diarah memohon kos RM10,000 kerana persediaan rayuan itu melibatkan 12 berkas dokumen.

Peguam Kanan Persekutuan Muzila Mohamed Arsad mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Lembaga Pelesenan Atom (LPTA) tidak menuntut sebarang kos.

Mohamed Taufiq dan enam yang lain memfailkan kebenaran bagi memulakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta LPTA mengeluarkan TOL kepada Lynas.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuantan pada 29 Jan lepas menolak permohonan penduduk bagi memulakan semakan kehakiman dan rayuan mereka dijadual didengar di Mahkamah Rayuan pada 19 Ogos ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain