suria

Kerajaan Negeri Digesa Wartakan Fatwa Anti Syiah

KUALA LUMPUR: Mana-mana kerajaan negeri yang belum mewartakan fatwa anti-Syiah diminta segera berbuat demikian dalam usaha membanteras penularan fahaman itu dalam kalangan masyarakat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata walaupun fatwa itu telah diwartakan di peringkat kebangsaan, namun kerajaan negeri perlu mewartakannya di peringkat negeri masing-masing supaya tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

"Seperti sedia maklum, hal ehwal agama terpulang pada kuasa negeri dan (pentadbir) negeri perlu berbincang dengan pihak berkuasa agama masing-masing dan menggazetkan fatwa ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Zakat Maybank Islamic (MIB) serta penyerahan sumbangan Sahabat Korporat Tabung Haji di sini, Khamis.

Jamil Khir menegaskan penyebaran amalan lain kepada umat Islam yang telah mempunyai pegangan seperti Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.

"Walaupun di negara ini (penganut) agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing, namun perbuatan mengembangkan fahaman lain kepada masyarakat Islam yang telah mempunyai pegangan adalah salah," katanya. Kementerian Dalam Negeri telah mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang berkuat kuasa Rabu.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri itu akan mewartakan fatwa anti-Syiah bagi membanteras fahaman itu di negeri berkenaan.

Mengenai permohonan rayuan kepada kerajaan Arab Saudi berhubung pengurangan kuota haji Malaysia 20 peratus tahun ini, Jamil Khir berkata pihaknya masih menunggu jawapan mengenai perkara itu.

"Rayuan telah dibuat, namun jawapan mungkin diperoleh di saat-saat akhir," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain