suria

Sekumpulan Lelaki Rompak KK Super Mart Ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan empat lelaki yang merupakan sebahagian daripada kumpulan yang merompak 11 KK Super Marts dalam tempoh 10 hari.

"Salah seorang daripada perompak ditahan tiga hari lepas. Dan saya baru sahaja mendapat mesej bahawa tiga lagi ditahan polis pada hari ini," kata Pengurus Keselamatan KK Mart, Selvam Kumar.

Sejak beberapa kes rompakan itu, KK Super Mart memperbanyakkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya itu dan turut menggaji pegawai keselamatan bersenjata.

Selvam berkata, sejak langkah-langkah keselamatan dipertingkatkan, tiada insiden rompakan dilaporkan.

"Semua pihak di kawasan setempat (di mana berlaku rompakan) berasa amat gembira apabila perompak ini ditangkap," kata Selvam.

"Pihak polis melakukan tugas dengan cekap."

The Star Online melaporkan sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang merompak rangkaian pasar raya mini 24 jam, KK Super Mart sebanyak 11 kali dalam tempoh 10 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas KK Super Mart, Datuk Dr Douglas K.K. Chai berkata, kelima-lima lelaki itu dipercayai dalam lingkungan umur 20an - tidak memakai topeng atau helmet ketika merompak pasar raya mini berkenaan di Lembah Klang.

"Perompak memandu kenderaan yang sama - sebuah Proton Satria warna kelabu dengan nombor pendaftaran palsu WLV 964,” katanya.

"Setakat ini, tiada yang cedera dalam kejadian rompakan itu."

Tambahnya, kumpulan perompak terbabit mencuri wang daripada premis dan pelanggan serta beberapa barangan lain seperti rokok.

Artikel Lain