suria

Penuntut Nigera Ke Tali Gantung Edar Kanabis 6.2 kg

SHAH ALAM: Seorang pelajar kolej swasta warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Khamis selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 6.25kg, tiga tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Ugonna Philip Nwankwo, 29, tidak logik dan tidak munasabah.

Justeru itu, beliau berpuas hati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Nwankwo didakwa mengedar kanabis seberat 4.85 kg di perhentian bas berhadapan pintu masuk utama Sunway Pyramid, Bandar Sunway, dekat sini, 1 tengah hari pada 9 Nov 2010.

Dadah dijumpai dalam poket kiri seluar jean yang dipakai tertuduh dan bungkusan plastik yang dipegang olehnya. Selain itu, Nwankwo juga didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.4kg di sebuah rumah di Jalan SS12/2D, Bandar Baru Subang Jaya, Subang Jaya, dekat sini, pada 3 petang tarikh sama.

Dadah itu disembunyikan dalam plastik atas almari di dalam bilik tertuduh dan dalam kotak kasut. Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Mastura Mohamed Aman sementara tertuduh diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi. - BERNAMA

Artikel Lain