suria

Lelaki Bunuh Kanak-Kanak 6 Tahun Dibebaskan Kerana Kurang Siuman

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Sandakan di sini membebaskan seorang lelaki tempatan yang membunuh anak lelaki kepada seorang bekas wartawan atas alasan tertuduh kurang siuman.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Douglas Primus Sikayun mengarahkan Mohamad Hanafi Mohamad, 27, supaya ditahan di Hospital Mesra Bukit Padang di Kota Kinabalu atas perkenan Yang di-Pertua Negeri.

Beliau membuat keputusan itu pada akhir perbicaraan terhadap Mohamad Hanafi yang dituduh membunuh Ahmad Khir Hadhari yang berusia enam tahun pada 10 Jun 2011 di pangsapuri kos rendah Karamunting di Sandakan.

Dalam kejadian itu, Mohamad Hanafi menikam Ahmad Khir dan mencederakan dua lagi adik-beradik kanak-kanak lelaku itu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pendakwaan memanggil 11 saksi semasa perbicaraan sementara pihak pembelaan pula seramai empat orang.

Ahmad Khir merupakan anak lelaki kepada bekas wartawan tempatan, Awang Ahmad Ongkang.

Berikutan penahanannya, Mohamad Hanafi menjalani pemerhatian di Hospital Mesra di sini di mana seorang pakar psikiatri mengesahkan dia tidak berfikiran waras dan tidak sedar terhadap kesan daripada tindakannya itu.

Kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji sementara tertuduh diwakili peguam Choo Peng Yeang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain