suria

Ujian Kehamilan Calon PLKN: Hasil Kajian Diteliti

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang meneliti hasil kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhubung isu ujian kehamilan ke atas bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kajian yang dibuat pada 2011 melibatkan 4,500 responden daripada pelatih PLKN dan ibu bapa itu mendapati 94 peratus bersetuju ujian itu dilaksana.

"Hasil kajian itu sudah dirujuk kepada kabinet dan kita akan lihat pada aspek 'practicality' dan etika," katanya ketika ditemui pemberi di lobi Parlimen, di sini, Selasa.

Terdahulu ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Nget Yoon pada persidangan Dewan Negara, Abdul Rahim berkata, isu berkaitan pelatih hamil dibentang pada mesyuarat kabinet 23 Jun 2011.

"Kabinet bersetuju untuk mendapatkan pandangan dan kajian daripada KPWKM dan Kementerian Kesihatan. Dijangkakan suatu keputusan Kabinet akan diketahui dalam masa terdekat," katanya.

Abdul Rahim berkata, sejak PLKN dilaksanakan pada 2004 hingga kini, terdapat enam kes pelatih melahirkan bayi semasa menjalani program itu.

Menurutnya, setiap pelatih yang dipilih menyertai PLKN telah diwajibkan membuat perakuan kesihatan menggunakan Borang Perakuan Kesihatan.

Jika pelatih mempunyai masalah kesihatan termasuk kehamilan, mereka boleh merujuk kes kesihatan mereka kepada pegawai perubatan kerajaan bagi tujuan status kesihatan, dan tindakan penangguhan atau pengecualian daripada menjalani PLKN akan dikeluarkan selaras dengan syarat yang telah ditetapkan dalam Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), katanya.

"Sememangnya telah terdapat pada Borang Perakuan Kesihatan (Wanita), perakuan mengenai tarikh haid terakhir dan sekiranya pelatih wanita berkenaan memperakui sebagai 'tidak pasti' atau 'tarikh haid yang lepas adalah terlalu lama', maka pelatih wanita itu akan dirujuk kepada pegawai perubatan kerajaan bagi tujuan pengesahan status kesihatan.

"Pelatih wanita yang disahkan hamil berhak diberi penangguhan daripada menjalani latihan. Bagaimanapun ketepatan maklumat yang diperoleh dalam Borang Perakuan Kesihatan bergantung kepada kejujuran pelatih itu sendiri dalam membuat perakuan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain