suria

Jangan Timbul Kontroversi Sepanjang Proses Pengundian Esok - Ketua Polis Terengganu

BESUT: Polis pada Selasa mengingatkan penyokong parti bertanding tidak menimbulkan provokasi sepanjang proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, pada Rabu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, kesemua tempat mengundi dijangka sesak ekoran kehadiran penyokong parti dari luar menjelang hari pengundian untuk memberi sokongan dan meraih undi.

Bercakap dalam sidang media di sini pada Rabu, beliau berkata, perbezaan budaya antara penduduk luar dan setempat dibimbangi mampu mencetuskan ketegangan di antara dua pihak.

"Kita percaya penduduk tempatan tidak bertindak demikian namun yang membimbangkan penyokong dari luar yang agresif untuk meraih undi sehingga mencetuskan kekecohan.

"Insiden seperti ini berlaku pada pilihan raya umum lalu dan kita tidak mahu ia berulang," katanya, sambil meminta para penyokong menghormati budaya masyarakat setempat agar proses esok berjalan lancar.

Bagaimanapun, katanya, polis mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 20 permohonan permit untuk mengadakan ceramah dan tayangan video diluluskan pada Isnin.

Katanya, pemantauan polis mendapati kesemua ceramah itu berlangsung secara aman tanpa dicemari sebarang insiden yang tidak diingini.

"Saya mengingatkan kepada parti bertanding tempoh berkempen akan tamat pukul 12 tengah malam ini dan selepas itu tidak dibenarkan mana-mana pihak mengadakan kempen jika masih ingkar tindakan akan diambil," katanya.

Beliau berkata, sepanjang proses pengiraan undi berlangsung polis akan meningkatkan tahap keselamatan bagi menggelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Katanya, polis juga tidak membenarkan sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan menggunakan motosikal, kereta mahupun secara berjalan kaki. - BERNAMA

Artikel Lain