suria

Imigresen Melaka Tahan 17 GRO Warga Asing

MELAKA: Tujuh belas wanita warga China dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen Melaka di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini, Isnin.

Timbalan Pengarahnya, Mohammad Azlan Jawawi berkata dalam operasi penguatkuasaan selama tiga jam bermula 9 malam, kesemua wanita berumur antara 24 dan 32 tahun itu ditahan ketika sedang berkaraoke bersama pelanggan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, dua wanita warga China berusia 23 dan 24 tahun itu telah berkahwin selama setahun dengan lelaki tempatan dan bekerja di premis karaoke yang dibuka sejak dua bulan lepas.

"Kita memandang serius kesalahan kedua-dua wanita ini yang masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial kerana khuatir wanita ini berkahwin atas sebab tertentu bagi melayakkan mereka duduk di negara ini dalam jangka masa panjang," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati seorang daripada 17 wanita yang ditahan itu menggunakan pas pelajar sebuah kolej di Kuala Lumpur.

Katanya, tiga lagi wanita dipercayai melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan manakala 11 lagi disyaki masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain