suria

Dua Pemuda Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya

KEMAMAN: Dua pemuda maut apabila motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta di Kampung Paya Berenjut, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam berkata, penunggang Abdul Aziz Mohd Ghaafar, 18, dan pembonceng Mohd Jabir Mohd Nasir, 19, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku 9.15 malam di persimpangan lampu isyarat kampung itu apabila mangsa yang menghala ke Kuantan dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kereta yang ingin membelok ke kawasan perumahan Perwaja di situ, katanya ketika dihubungi.

Katanya, akibat rempuhan itu kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan, menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.

Mayat kedua-duanya yang bekerja sebagai peniaga dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain