suria

BN & PAS Masing-Masing Dakwa Jadi Mangsa Fitnah

BESUT: Kurang 24 jam sebelum hari pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Rabu, Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing mendakwa difitnah oleh pihak tertentu dengan tersebarnya maklumat kononnya kedua-dua parti itu akan memberikan bantuan berupa wang tunai kepada pengundi di Kuala Besut.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya mengesan pengedaran surat kepada pengundi yang menyatakan parti itu akan memberi sumbangan duit raya sehingga RM800 seorang.

Surat yang diedarkan itu menggunakan kepala surat Bilik Gerakan Utama BN Jentera PRK Kuala Besut itu ditandatangani Setiausahanya, Salleh Abdul Latif.

Sehubungan itu Salleh membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut bagi menafikan beliau bertanggungjawab mengeluarkan surat berkenaan.

PAS turut membuat dakwaan telah difitnah bahawa parti itu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pengundi kononnya mahu memberikan bantuan zakat sempena Ramadan dan Aidilfitri kepada pengundi.

Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihaknya mengesan penghantaran SMS yang meminta penerima hadir ke rumah calon PAS, Endut @ Azlan Yusof untuk merima agihan zakat tersebut.

Menurut Wan Azhar, SMS tersebut dihantar menggunakan nombor telefon bimbitnya.

"Saya mengaku nombor itu adalah nombor saya, tapi saya menafikan menghantar SMS itu.

"Saya yakin nombor telefon saya diklon oleh pihak tertentu bagi menimbulkan kemarahan orang ramai," katanya pada sidang media di markas PAS di Kampung Baharu di sini, Selasa.

Artikel Lain