suria

Rumah Bekas Exco Melaka Dipecah Masuk

ALOR GAJAH: Tatkala bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri Melaka Datuk Ab Karim Sulaiman sibuk membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Kuala Besut, rumahnya di Sungai Udang di sini dipecah masuk awal pagi Ahad.

Menantu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara itu, Amir Ariffin, 37, berkata, kejadian itu disedarinya apabila pulang ke rumah itu pada 11.30 pagi Ahad dan mendapati televisyen 43 inci, set teater rumah dan beberapa beg pakaian hilang.

"Ketika kejadian semua keluarga saya berada di sebuah lagi rumah kami di Kampung Seri Jeram (di sini). Ketika pulang ke rumah ini saya dapati pintu belakang rumah telah diumpil dan ada kesan tapak kaki di pagar juga rumput di belakang rumah.

"Jiran saya ada terlihat sebuah kereta menurunkan seseorang di tepi rumah ini pada pukul 5.30 pagi tadi dan kembali semula mengambil orang itu kira-kira sejam selepas itu. Beliau (Ab Karim) telah dimaklumkan perkara ini dan akan pulang malam ini," katanya kepada pemberita di Sungai Udang di sini, Ahad.

Amir yang merupakan pegawai di Jabatan Ketua Menteri Melaka berkata, kira-kira dua bulan lepas rumah itu juga cuba dimasuki pencuri tetapi gagal.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes sedang disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain