suria

Pengurangan Kuota Haji Beri Kesan Kepada Tempoh Menunggu & Giliran Bakal Haji

KUALA LUMPUR: Keputusan pengurangan kuota haji memberi kesan terhadap tempoh menunggu dan giliran bakal haji yang memperlihatkan sedikit peningkatan dalam beberapa tahun akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bagaimanapun, keadaan ini sementara sahaja dan dijangka kembali pulih setelah selesainya projek pembesaran dan penambahbaikan prasarana di Masjidil Haram, Makkah.

"Kerajaan Malaysia telah menerima surat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi mengenai keputusan pengurangan 20 peratus kuota haji bagi musim 1434H, peraturan itu melibatkan semua negara di dunia," katanya menjawab soalan Senator Datuk Muhamad Yusof Husin pada persidangan Dewan Negara di sini Isnin.

Jamil Khir berkata diharapkan kerajaan Arab Saudi akan mempertimbangkan penambahan kuota haji untuk semua negara termasuk Malaysia setelah semua projek itu siap.

Beliau berkata pengurangan kuota itu turut memberi kesan kepada bakal jemaah yang membuat surat rayuan (mahram dan warga emas) pada musim ini, dan pihak Tabung Haji (TH) membuat penilaian yang terperinci untuk mempertimbangkan rayuan mereka sekiranya terdapat kekosongan tempat yang dapat menampung jemaah rayuan.

Katanya bagi bakal jemaah haji yang telah memberi maklum balas serta pengesahan kepada TH dan mencukupkan bayaran haji berjumlah RM9,980, tawaran menunaikan haji tidak akan ditarik balik.

Mengenai kuota tambahan, beliau berkata setiap inisiatif dan usaha untuk memperoleh kuota itu tidak wajar didedahkan kepada umum dan ini adalah persetujuan bersama antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

"Ini kerana jika tersebarnya maklumat tersebut melalui media atau saluran tertentu, maka ia akan menyulitkan pihak kerajaan Arab Saudi memberikan pertimbangan, pengecualian atau keistimewaan kepada kerajaan Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain