suria

Pengurangan Kuota Demi Keselamatan Jemaah Haji

MEKAH: Kerajaan Arab Saudi terpaksa mengurangkan jumlah jemaah haji dari seluruh dunia pada tahun ini bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah, berikutan kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan yang sedang dilakukan di kota suci.

Kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan yang bermula November lalu, dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun dengan matlamat memastikan lebih ramai umat Islam dapat mengerjakan ibadat haji dalam keadaan selesa.

Pengerusi Muassasah Asia Tenggara Tan Sri Zuhair A. Sadayo berkata kerajaan Arab Saudi mengambil berat tentang usaha mempermudahkan operasi haji dan atas faktor itu, pembangunan semula kota Makkah terutama pembesaran Masjidil Haram dilakukan.

Katanya sebelum ini 'Mas'aa', iaitu kawasan laluan ibadah Saie telah dibesarkan sehingga boleh menampung ramai jemaah dan kini kerajaan Arab Saudi sedang menaik taraf 'Mataf', tempat ibadat tawaf dilakukan, supaya lebih ramai jemaah dapat melakukan tawaf pada satu-satu masa selain pembesaran masjid untuk menampung lebih ramai jemaah.

"Sebelum projek pembangunan ini, 48,000 jemaah boleh melakukan tawaf dalam tempoh sejam, tetapi berikutan kerja menaik taraf, hanya 22,000 jemaah boleh melakukannya. Ini hanya sementara. Selepas pembesaran, 130,000 jemaah boleh bertawaf dalam sejam," katanya kepada pemberita Malaysia menerusi jurubahasa pada sidang media, di sini Isnin.

Selain itu, katanya, projek menaik taraf itu juga akan melibatkan kerja merobohkan sebahagian masjid untuk diperbesarkan.

"Demi keselamatan dan nyawa jemaah, kami terpaksa potong kuota haji negara luar sebanyak 20 peratus manakala jemaah dalam negara, 50 peratus. Apabila siap kelak, kita akan kembali kepada jumlah asal," katanya menambah ini merupakan peringkat pertama daripada keseluruhan tiga peringkat projek menaik taraf.

Menjelas lanjut, Zuhair berkata proses merobohkan sebahagian masjid dan membesarkan masjid bertujuan memperbesarkan ruang solat, selain membolehkan Kaabah jelas dilihat dari jauh.

"Kerajaan Arab Saudi akan mengeluarkan filem (dokumentari) bagaimana pembesaran Masjidil Haram dibuat dan diberikan kepada agensi terlibat. Saya berharap ia dapat ditayangkan kepada umum," katanya.

Zuhair berkata buat masa ini, pengurangan kuota jemaah haji hanya berlaku pada tahun ini dan belum ada kata putus untuk tahun-tahun akan datang.

Menurut Zuhair, selain pembangunan kota Makkah, kerajaan Arab Saudi juga akan menyiapkan projek kereta api laju dari Madinah dan Kota Suci itu untuk memudahkan perjalanan jemaah Haji berikutan perjalanan melalui jalan darat kini memakan masa kira-kira lima jam dengan jarak hampir 500 km.

"Ikut perancangan, kereta api laju ini akan siap pada 2015. Ia akan memendekkan masa perjalanan jemaah Haji dan Umrah," katanya.

Dalam soal pengangkutan musim haji kali ini, beliau berkata kerajaan Arab Saudi melantik tiga syarikat bas tambahan bagi meningkatkan bilangan bas untuk kegunaan jemaah haji.

Sementara itu, Zuhair berkata para petugas yang terlibat menjaga jemaah Muassasah akan menjalani 23 latihan untuk pengurusan jemaah yang melibatkan semua aspek.

"Semuanya dah bersedia. Harap semuanya lancar. Menteri Haji dah arahkan Muassasah Arab Saudi supaya melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang. Muasassah Asia Tenggara mendapat kerjasama yang baik daripada Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata Tabung Haji merupakan agensi pengurusan haji terbaik dan semua negara Islam telah maklum bahawa Tabung Haji adalah contoh terbaik. - BERNAMA

Artikel Lain