suria

Pelancong Wanita Korea Selatan Maut Cuba Selamatkan Suami Daripada Lemas

KUALA BESUT: Seorang pelancong wanita dari Korea Selatan lemas ketika cuba menyelamatkan suaminya yang menghadapi kesukaran bernafas ketika berada di dalam air di perairan Tanjung Langir Pulau Perhentian Besar di sini, Ahad.

Mangsa seorang suri rumah dikenali sebagai Kim Dong Huk, 52, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari, setengah jam selepas diselamatkan penduduk.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya Kyung Min Baek, 54, turun pada 10 pagi untuk melakukan kegiatan snokerling.

Katanya, setelah hampir dua jam berada di dalam air, Kyung, seorang ahli perniagaan, menghadapi masalah dan tenggelam timbul tetapi Kim cuba menyelamatkannya dengan memegang kuat pada badan suaminya itu.

"Bagaimanapun, tarikan kuat daripada suaminya itu menyebabkan mangsa tenggelam tanpa dapat diselamatkan oleh suami dan sepasang rakannya yang turut melakukan kegiatan snorkeling di situ," katanya lagi.

Mayat Kim kemudiannya dibawa ke Hospital Daerah Besut di Jerteh untuk bedah siasat.

Ketika ditemui di Hospital Daerah Besut, Kyung berkata mereka tiba di Pulau Perhentian pada 20 Julai untuk bercuti bersama dua rakan yang lain.

Beliau yang begitu sedih dengan pemergian isterinya itu berkata mereka sepatutnya pulang ke Korea Selatan pada 23 Julai. - BERNAMA

Artikel Lain