suria

Kerajaan Johor Bakal Lantik Ketua Bagi Masyarakat Iban Dan Pribumi Sabah

JOHOR BAHARU: Masyarakat Iban dan pribumi Sabah yang tinggal di Johor bakal mempunyai ketua masyarakat masing-masing bagi menjaga kepentingan dan kebajikan mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata seperti masyarakat tempatan, penduduk kaum Iban dan pribumi Sabah di negeri ini memerlukan ketua masing-masing bagi melihat keperluan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai masalah dalam melantik ketua masyarakat bagi penduduk kaum Iban dan pribumi Sabah di sini," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan berbuka puasa di Masjid Abidin, Taman Sri Skudai,pada Isnin.

Beliau berkata pelantikan tersebut adalah selaras dengan syor persempadanan semula kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) melibatkan Majlis Bandaraya Johor Baharu, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah.

Mohamed Khaled berkata cadangan persempadanan semua kawasan PBT itu kini dalam peringkat kajian.

Permohonan bagi pelantikan seorang ketua bagi masyarakat Iban di Johor dikatakan telah diusahakan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Iban di sini sejak beberapa tahun yang lalu.

Dianggarkan lebih 40,000 penduduk Sarawak tinggal di Johor di mana sebahagian besarnya adalah masyarakat Iban manakala anggaran jumlah penduduk Sabah masih belum diperolehi sehingga kini.-BERNAMA

Artikel Lain