suria

Kerajaan Buka Semula Tender Projek LPT2

KUALA LUMPUR: Kerajaan terpaksa membuka semula tender kepada kontraktor baharu bagi meneruskan pakej terbengkalai projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berikutan kontraktor asal projek itu menarik diri disebabkan kenaikan harga bahan binaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata ia bagi memastikan projek LPT2 sepanjang 184 kilometer itu dapat disiapkan mengikut jangka masa yang disasarkan iaitu pada Ogos 2014.

"Berdasarkan tempoh kontrak semasa pakej terakhir LPT2 yang akan disiapkan ialah Pakej 7, iaitu melibatkan laluan dari Bukit Mempusi ke Felda Kerteh 6 Kemaman sepanjang 13.5 kilometer," katanya.

Fadillah diminta menjawab isu kelewatan dan status kemajuan projek LPT2 serta tempoh masa ia dapat dibuka kepada orang ramai yang diaju oleh Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin pada sesi soal jawab Dewan Negara hari ini.

Menurutnya pembinaan pakej itu kini mencapai 50 peratus kemajuan dan sehingga 30 Jun tahun ini, keseluruhan projek LPT2 sudah disiapkan melebihi 88.5 peratus.

Mulai 2011, Fadillah berkata kerajaan telah melaksanakan pembukaan LPT2 secara berperingkat kepada lalu lintas melibatkan jajaran utara dari Persimpangan Bertingkat Bukit Besi ke Persimpangan Bertingkat Kuala Terengganu sepanjang 72 kilometer.

Beliau turut menjangkakan keseluruhan projek itu dibuka kepada lalu lintas pada September 2014. - BERNAMA

Artikel Lain