suria

Penagih Dadah Wanita Mati Terjatuh Balkoni

KUALA LUMPUR: Seorang penagih dadah wanita mati dipercayai akibat terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat lima Flat Melati di Jalan Loke Yew di sini, Sabtu ketika melarikan diri dari polis.

Kwan Choi Leng, 53, terjatuh selepas cuba melarikan diri bersama beberapa rakannya yang lain yang juga penagih dadah dalam kejadian kira-kira 5.18 petang itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa jatuh di kaki lima flat berkenaan selepas sepasukan polis datang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan tangga flat tersebut.

"Polis nampak mangsa dan rakan-rakannya sedang menagih dadah di kawasan balkoni rumah mangsa. Setelah menyedari kehadiran kami, mereka terus melarikan diri," kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad kepada Bernama Ahad.

Beliau berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan di premis mangsa dan turut menjumpai beberapa peralatan menghisap dadah. Mangsa mati kerana mengalami kecederaan di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain