suria

Bukit Rambai Catat Kualiti Udara Tidak Sihat

MELAKA: Bukit Rambai di sini merupakan satu-satunya kawasan di negara ini yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 105 pada tengah hari Ahad.

Menurut Jabatan Alam Sekitar dalam laman sesawangnya, bacaan IPU di kawasan itu dikesan berada pada paras tidak sihat pada pukul 8 pagi dengan catatan 102 dan kekal dengan bacaan tersebut pada pukul 9 pagi.

Bagaimanapun bacaan itu meningkat kepada 103 pada pukul 10 pagi dan 105 pada pukul 11 pagi.

Tinjauan Bernama di sekitar Bukit Rambai mendapati jarak penglihatan tidak begitu terjejas walaupun terdapat kesan asap.

Seorang surirumah Aisyah Abd Hapiz, 49, yang tinggal di Taman Bukit Rambai berkata beliau mula menyedari kesan dan bau asap sejak Sabtu.

"Harapnya jerebu tidak datang seteruk dulu. Dulu nak sidai baju di luar pun bau asap, nak keluar rumah pun susah. Dengan bulan puasa ini, kalau jerebu teruk lagi, akan datangkan lebih banyak penyakit macam batuk kerana tekak kering," katanya.

Sementara keadaan di Bandaraya Melaka dilapor masih berada pada tahap IPU sederhana, bagaimanapun bacaannya meningkat daripada 77 pada pukul 8 pagi, 9 pagi (78), 10 pagi (79), 11 pagi (79) dan 12 tengah hari (80).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan seagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya. Agensi Alam Sekitar Nasional Singapura turut meramalkan republik itu mungkin mengalami jerebu beberapa hari lagi. - BERNAMA

Artikel Lain