suria

RM35 Juta Tambah Baik Empangan & Tali Air Di Pengkalan Nangka - Muhyiddin

KUALA BESUT: Selepas mengumumkan kelulusan RM250 juta untuk pembaikan muara Sungai Besut demi membela golongan nelayan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengumumkan pula peruntukan RM35 juta untuk menambahbaik kemudahan empangan dan tali air di Pengkalan Nangka untuk golongan petani.

Projek di Pengkalan Nangka, yang merupakan sumber air utama kepada 900 hektar kawasan padi itu, dijangka berkeupayaan meningkatkan pengeluaran padi daripada 4 metrik tan kepada 5.5 metrik tan melalui penanaman padi dua kali setahun.

Muhyiddin ketika berucap pada program himpunan warga nelayan dan peladang di Dataran Kuala Besut di sini Sabtu berkata pembelaan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu adalah satu ibadah.

"Segala yang dilakukan ini adalah digalakkan untuk kita dan ia tidak bercanggah dengan agama kita," katanya.

Beliau berkata ia adalah kenyataan yang tidak tepat dan lari daripada niat sebenar kerajaan BN sekiranya terdapat pihak yang menyanggah usaha kerajaan B Nitu sebagai tidak bermanfaat dan hanya untuk meraih undi menjelang pilihan raya.

"Bantuan ini satu ibadah dengan niat yang ikhlas agar rakyat dibantu dengan adil dan saksama, kita tidak pernah bertanya saudara menyokong siapa, walaupun sebahagian sokong BN," katanya.

Mengenai projek pembaikan muara Sungai Besut bernilai RM250 juta itu, ia adalah bukti kesungguhan kerajaan BN untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya projek itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada golongan nelayan dan pengusaha industri pelancongan di Kuala Besut malah mampu menjadikan pekan nelayan itu kawasan pertumbuhan baharu ekonomi di Pantai Timur khasnya dalam industri berkaitan maritim.

"BN akan meneruskan agenda supaya saudara-saudari diberikan perhatian, pembelaan, bantuan dan pertolongan kerana ini bukan sahaja satu tanggungjawab kita, tapi satu ibadah yang dituntut dalam agama kita lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini," katanya.

Projek pembaikan muara Sungai Besut yang turut melibatkan pembinaan benteng pemecah ombak masing-masing sepanjang satu kilometer di kiri dan kanan muara Sungai Besut itu dijangka bermula awal tahun depan.

Menurut Muhyiddin, sekiranya rakyat Kuala Besut memilih calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sebagai wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil kawasan itu 24 Julai ini, beliau akan dilantik sebagai pemantau kedua-dua projek itu berdasarkan kepada kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang pengairan dan saliran sebelum ini.

Muhyiddin berada di Kuala Besut untuk membantu kempen BN sempena pilihan raya kecil DUN Kuala Besut akan bersama-sama penduduk di Pulau Perhentian Kecil pada majlis berbuka puasa hari ini disusuli solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih. - BERNAMA

Artikel Lain