suria

Penunjuk Perasaan Bantah TPPA Diminta Patuhi Undang-Undang

KOTA KINABALU: Anggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid meminta penunjuk perasaan agar mematuhi undang-undang dan tidak menggangu proses perbincangan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang sedang berlangsung di sini.

Beliau berkata, terdapat cara lain bagi membantah perkara itu dan menjemput mereka yang berkenaan untuk menyuarakan pendapat semasa hari terbuka anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), pada 1 Ogos.

"Saya boleh beri jaminan bahawa kerajaan amat prihatin tentang perkara ini. Kami (kerajaan) mengambil berat tentang pendapat orang ramai.

"Kami terbuka untuk mendengar cadangan. Anda boleh datang ke Hari Terbuka Miti dan lebih banyak siri rundingan akan dilakukan," katanya pada sidang media oleh Kaukus Parlimen bagi TPPA di luar rundingan pusingan ke-18 mengenai TPPA, di sini, Sabtu.

Noor Ehsanuddin berkata demikian sebagai mengulas permintaan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang hadir agar polis dan pihak berkuasa tempatan berlembut ke atas kumpulan yang membantah perbincangan tersebut.

Ini berikutan penahanan seramai 14 penunjuk perasaan yang menggelarkan diri mereka, Badan Bertindak TPPA Sabah pada kira-kira 9.30 pagi di sebuah resort terkemuka, tempat berlangsungnya rundingan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun mengesahkan penahanan kumpulan itu dan berkata semua mereka telah dibebaskan.

Rundingan TPPA bermula 15 hingga 25 Julai di sini.

TPPA merupakan perjanjian yang mirip kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) melibatkan perdagangan pelbagai hala dengan banyak negara antaranya Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun. - BERNAMA

Artikel Lain