suria

Keputusan PRK Kuala Besut 10 Malam Rabu

BESUT: Keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan dapat diketahui kira-kira pukul 10 malam, Rabu depan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya hanya akan mengumumkan keputusan pada pukul 10 malam bagi menghormati umat Islam menunaikan solat terawih.

"Disebabkan sekarang bulan Ramadan, kita hormati pemimpin-pemimpin politik dan orang ramai untuk beribadat.

"Walaupun proses penjumlahan undi selesai awal dan kita sudah mengetahui keputusan pada pukul 9 malam, SPR tetap akan menunggu sehingga pukul 10 malam untuk diumumkan secara rasmi," katanya di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal oleh anggota tentera dan pasangan serta pegawai polis di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di sini.

Selain itu Wan Ahmad berkata, SPR menjangkakan kira-kira 75 peratus daripada 16,534 jumlah keseluruhan pengundi biasa akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Rabu depan.

Mengulas mengenai proses pengundian awal, Wan Ahmad berkata beliau yakin peratus keluar mengundi kumpulan berkenaan akan mencecah hampir 95 peratus daripada 1,148 pengundi berdaftar.

Pilihan raya ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 jumlah keseluruhan pengundi berdaftar.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan wakil PAS, Endut @ Azlan Yusof.

Artikel Lain