Harga Ayam Standard Ditetapkan RM7.70 Sekilogram - Semasa | mStar

Harga Ayam Standard Ditetapkan RM7.70 Sekilogram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Jumaat menetapkan harga ayam standard pada kadar RM7.70 sekilogram semasa skim kawalan harga musim perayaan tahun ini.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata harga tersebut yang turun sebanyak 70 sen daripada harga purata runcit akan dilaksanakan selama 17 hari bermula 26 Julai ini.

"Skim ini akan berakhir pada 11 Ogos iaitu hari raya ketiga dan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Mengenai penetapan harga ayam, beliau berkata pengusaha dan pengeluar ternakan ayam telah bersetuju dengan penetapan harga itu pada mesyuarat Rabu lepas dan menjamin bekalan ayam adalah mencukupi untuk Aidilfitri bulan depan.

Hasan berkata, tahun ini pihak kementerian telah mengenal pasti sebanyak 20 jenis barangan untuk ditentukan harga maksimum di bawah skim kawalan harga itu.

Antara 20 jenis barangan makanan yang dikawal ialah Ayam Super, Ayam Standard, daging lembu tempatan, daging lembu import dan daging kerbau import dari India, jelasnya.

Dalam pada itu, para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan kementerian dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakan dengan barangan keperluan lain, katanya.

Ditanya mengenai sama ada barangan keperluan lain mencukupi sempena Aidilfitri, Hasan berkata berdasarkan rundingan dengan pemborong, pembekal dan pengimport bekalan keperluan barangan makanan utama adalah mencukupi.

Dalam perkembangan lain, Hasan berkata seramai 287 peniaga dikenakan kompaun berjumlah RM31,800 semasa Operasi Pemantauan Harga Barang (Ops Harga) di seluruh negara dari 6 Julai hingga Khamis.

"Sepanjang tempoh itu, 62,672 pemeriksaan dilakukan dan nilai rampasan sebanyak RM56,119. Kebanyakan peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan Akta Timbang dan Sukat 1972," katanya.

Menurut Hasan, Ops Harga itu adalah untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bagi mengaut keuntungan berlebihan ketika permintaan sesuatu barangan meningkat.

Beliau meminta orang ramai bekerjasama dengan kementerian dengan melaporkan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh peniaga dengan menghubungi di talian bebas tol 1-800-886-800. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain

BN kekalkan kerusi Parlimen Kimanis