Tiga Produk Kesihatan Dikesan Mengandungi Racun Berjadual - Semasa | mStar

Tiga Produk Kesihatan Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menasihatkan orang awam supaya mengelak membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual tretinoin, asid azelaik dan merkuri.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A.Rahman berkata, produk tersebut ialah Aveana Night Revival Cream yang mengandungi tretinoin, Blemished Skin Ampoules (asid azelaik) dan Golden Horse B&W Cream-GH902-1 (merkuri).

Beliau berkata, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Asid azelaik yang digunakan untuk merawat masalah jerawat dan 'rosacea' iaitu keadaan kronik di mana muka menjadi merah di kawasan dahi, hidung dan pipi hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Pengunaan asid azelaik tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, pedih dan kemerahan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau juga berkata, produk yang dicampur dengan merkuri untuk mencerahkan kulit dan antipenuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan adalah tidak dibenarkan dan boleh memudaratkan kesihatan.

"Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan," katanya.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutama kanak-kanak apabila produk itu disapu pada kulit meruap dan dihidu.

"Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Eisah berkata, syarikat bertanggungjawab ke atas produk berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan penjualan dan pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

Justeru, katanya penjual yang mempunyai stok produk itu dinasihati menghentikan penjualan dan pengedaran kerana pemilikan produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Sementara syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, katanya.

Pengguna dinasihatkan menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-78835532 atau 03-78835534 jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Artikel Lain