suria

Sindiket Dadah Batu Pahat Tumpas, Rampasan Bernilai RM33 Juta

BATU PAHAT: Polis menumpaskan satu sindiket dadah dengan penangkapan enam suspek termasuk ketuanya di sini Selasa, selain merampas dadah bernilai RM31 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam operasi JSJN Bukit Aman dan polis Johor itu juga mereka merampas dua senjata api serta 217 butir peluru.

Operasi bermula dengan penangkapan suspek berusia antara 24 dan 52 tahun itu termasuk dua wanita, seorang daripadanya warga China, di sekitar bandar ini lewat malam Selasa.

Daripada penangkapan itu polis membongkar sebuah makmal dadah yang berselindung di sebalik kedai ikan hiasan di Taman Flora Height dan dua setor penyimpanan dadah, katanya pada sidang media, di sini Rabu.

Menurutnya selain dadah pelbagai jenis, polis juga merampas tujuh kenderaan serta wang tunai berjumlah RM1.84 juta.

Ketua sindiket ini dipercayai suspek yang lolos ketika operasi pada 9 Sept tahun lepas di Muar, yang menyaksikan polis memberkas tujuh anggota kumpulannya, katanya.

"Selepas terlepas, ketua sindiket itu kembali aktif dengan mengubah lokasi makmal baharu ke Batu Pahat," katanya.

Menurut Noor Rashid, polis percaya dadah terbabit adalah untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

Semua suspek ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain