suria

Penubuhan Jawatankuasa Pemilih Bagi Tempoh Parlimen Ke-13 Dilulus

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan penubuhan satu Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-13.

Jawatankuasa itu diketuai Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku pengerusi dan dianggotai enam anggota jawatankuasa.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Anggota lain yang dilantik ialah Anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.

Pembentukan jawatankuasa itu dibuat mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 76.

Pada persidangan sama, Dewan Rakyat juga meluluskan pemilihan Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Pelantikan Anggota Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw sebagai Timbalan Pengerusi PAC turut dipersetujui Dewan Rakyat.

Cadangan bagi kedua-dua usul itu telah dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain