suria

Pemandu Teksi Berhemah Penyumbang Penting Industri Pelancongan - Najib

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi yang berhemah dan berdisiplin menjadi penyumbang penting kepada industri pelancongan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata perangai dan tingkah laku baik yang dipamerkan oleh seluruh warga pemandu teksi akan dapat menarik lebih ramai pelancong asing mengunjungi Malaysia.

Katanya ini sejajar dengan matlamat kerajaan yang mahu memastikan orang ramai dan pelancong sentiasa mendapat perkhidmatan teksi bertaraf dunia yang boleh dibanggakan.

"Perkhidmatan teksi yang cemerlang tidak hanya dengan teksi yang cantik. Pemandu juga perlu 'cantik'. Kalau tidak, sekurang-kurangnya biarlah tingkah laku dan perangai cantik.

"Apabila membawa penumpang, senyum dan jadi pemandu teksi yang peramah. Apabila dapat bayaran, ucaplah terima kasih. Ini adalah ramuan menjadi pemandu teksi yang baik," katanya ketika berucap pada Majlis Janji Ditepati - Pemberian Lesen Teksi Individu di sini, Khamis.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Najib berkata majlis itu adalah satu lagi usaha kerajaan untuk memartabatkan peranan pemandu teksi dan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh negara.

Perdana menteri menyifatkan pemberian 500 lesen teksi individu sebagai satu lagi janji yang ditepati kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Mengimbas satu majlis di Putrajaya pada Mac lalu, beliau berkata: "Saya masih ingat apa saya sebut dalam majlis itu. Saya masih ingat pengumuman pemberian lesen teksi individu kepada 1,000 pemandu teksi terpilih. Pada majlis itu, saya serahkan 200 lesen, dan SPAD menyerahkan 300 pada bulan April.

"Ini merupakan satu titik permulaan dalam usaha kerajaan melakukan satu lonjakan kepada industri teksi selain menekankan lesen teksi diberi kepada individu serta menentukan piawaian yang sesuai."

Najib berkata setiap pemandu yang menerima lesen individu itu diwajibkan membeli dan menggunakan kereta Proton Exora untuk dijadikan teksi.

Beliau berkata untuk meringankan bebanan, Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) memberi geran RM5,000 kepada pemegang lesen individu terbabit untuk membeli kenderaan itu.

"Ini merupakan satu lagi komitmen kerajaan bagi memastikan pemandu teksi menyediakan kenderaan sesuai untuk kemudahan dan keselesaan penumpang terutama pelancong asing," katanya.

Selain itu, pemandu teksi juga akan mendapat menikmati satu pakej merangkumi harga kenderaan dikecualikan cukai jualan dan kastam, tidak perlu bayar wang pendahuluan, kadar pinjaman sebanyak dua peratus dari Bank Simpanan Nasional, pakej penyelenggaran pada harga pasar, dan skim insurans motor dan komprehensif untuk satu tahun pertama.

Selaras dengan agenda kerajaan, SPAD telah memperkenalkan program Teksi 1Malaysia (TEKS1M) untuk memberi imej baharu kepada industri teksi, seterusnya menjadikan TEKS1M sebagai penanda aras kepada industri itu pada masa akan datang.

TEKS1M adalah inisiatif yang dilaksanakan melalui kerjasama antara SPAD dan Proton di bawah program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA).

Najib juga berharap Malaysia akan dikenali dengan Teksi Exora yang memberi perkhidmatan teksi terbaik seperti yang dilihat di bandar raya besar seperti London dan New York.

"SPAD akan mewajibkan semua pemandu teksi menjalani program akreditasi untuk memastikan kualiti perkhidmatan teksi yang diberikan kepada orang ramai mengikut standard yang ditetapkan," kata Najib.

Beliau turut menggesa pemandu teksi di seluruh negara memberi perkhidmatan terbaik dalam usaha meningkatkan imej negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan kunci replika TEKS1M Proton Exora kepada lima pemandu teksi selain merasmikan ibu pejabat baharu SPAD di Bangunan Platinum Sentral, KL Sentral. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain