suria

MCA Yakin Pengundi Cina Kuala Besut Sokong BN

BESUT: MCA yakin pengundi Cina akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut 24 Julai ini.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun masyarakat Cina merupakan pengundi minoriti, ia tidak menghalang mereka daripada memberi sokongan padu kepada BN.

"Jumlah pengundi Cina di Kuala Besut adalah seramai 148 orang dan hingga kini kita berjaya menemui kira-kira 120 orang...usaha untuk berjumpa dengan pengundi akan kita teruskan.

"Kita yakin mereka akan memberi mandat dan sokongan padu kepada calon yang diketengahkan BN," katanya pada sidang media selepas walk-about di sekitar pekan Kuala Besut di sini, Khamis.

Selain itu ditanya sama ada 'tsunami masyarakat Cina' yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu akan berlaku di Kuala Besut, Liow menolak tanggapan berkenaan.

Menurut Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong, situasi tersebut sebenarnya tidak berlaku di seluruh negara termasuk Terengganu.

"Kita harus ingat apa yang dikatakan sebagai tsunami Cina sebenarnya tidak berlaku di Terengganu.

"Calon MCA yang tewas pada pilihan raya lalu adalah disebabkan kerana tidak mendapat sokongan pengundi Melayu...bukan pengundi Cina," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain