suria

Lelaki Dihukum 12 Tahun Penjara Rogol Remaja Bawah Umur

GEORGE TOWN: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang lelaki kerana merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada 2011.

Hakim Zanol Rashid Hussain mendapati Hasli Yaakob, 35, dari Teluk Bahang, bersalah kerana merogol remaja berkenaan yang ketika itu itu berusia 15 tahun, di sebuah rumah di Teluk Bahang antara 11 dan 18 April 2011.

Ketika merayu agar hukuman terhadap Hasli diringankan, peguam Andy Ooi berkata lelaki yang bertugas sebagai penyelamat itu perlu menjaga ibu bapanya, tetapi permohonannya dibantah Timbalan Pendakwa Raya DPP Lim Cheah Yit dengan alasan Hasli tidak langsung menunjukkan dia menyesali perbuatannya itu.

Ooi kemudian memohon agar hukuman itu ditangguhkan, tetapi Zanol menolaknya dan memerintahkan Hasli menjalani hukuman penjara mulai Rabu.

Di satu lagi Mahkamah Sesyen, dua lelaki meminta dibicarakan terhadap tuduhan mencedera dan merompak saudara kembar seorang daripada mereka di Bayan Baru bulan lepas.

M. Padmanathan, 46, dan Abdul Khalid Mohd Ali, 37, dituduh, bersama beberapa orang lagi yang masih bebas, merompak dan menyebabkan kecederaan terhadap saudara kembar Abdul Khalid, Abdul Jabar Mohd Ali, 37, di bulatan Tun Dr Awang pada kira-kira pukul 3 pagi 18 Jun.

Mereka dituduh mencuri dompet, seutas jam tangan, sebuah iPhone, tiga telefon bimbit, wang RM5,000, kad ATM dan lesen memandu milik Abdul Jabar serta dua kad ATM kepunyaan seorang bernama Norhana Mahammad Sahab.

Hakim Khairul Anuar Abdul Halim mengenakan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh sebutan kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain